السلام عليكم ! أهلا وسهلا إلى موقعنا..مع النجاح في الدنيا والأخرةSeMoGA SamA-sAmA BeRoLEh mAnFaaT!!

السلام عليكم ! أهلا وسهلا إلى موقعنا..مع النجاح في الدنيا والأخرةSeMoGA SamA-sAmA BeRoLEh mAnFaaT!!

Ahad, 19 Disember 2010

KAYA JIWA


19 Feb 2006
Ustaz Dr. Abdullah Yasin

عَنْ عَمْرو بْنِ عَوْفٍ اْلأَنْصَارِى رَضِى اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلأَنْصَارِذَاتَ يَوْمٍ: أَبْشِرُوا وَأَمِّـلُوا مَايَسُرُّكُمْ ، فَوَاللهِ مَا الْفَقْرُ أَخْشَى عَلَيْكُمْ ، وَلَكِنِّى أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ الدُّنْيَـا عَلَيْكُمْ كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ ، فَتَنَـافَسُوا كَمَا تَنَـافَسُوهَا ، فَتُهْلِكُكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ.

(مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

Dari 'Amru Bin 'Auf Al Anshary, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Anshar pada suatu hari:

Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan keatas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan keatas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.

(Muttafaq 'Alaihi)

ASBABUL WURUD

Sebagaimana pada ayat Al Quran ada Asbaabunnuzul iaitu sebab-sebab mengapa sesuatu ayat atau surah diturunkan oleh Allah maka pada hadis juga ada Asbaabul Wurud iaitu sebab-sebab mengapa baginda ucapkan sesebuah hadisnya.

Para muhadditsun (pakar hadis) menceritakan bahawa Nabi saw mengutus Abu ‘Ubaidah Bin Al Jarrah (ra) ke Bahrain untuk mengambil jizyah (ufeti). Ketika itu penduduk Bahrain menganut agama Majusi (menyembah api). Abu 'Ubaidah membawa balik ke Madinah harta yang banyak. Masyarakat Madinah (Al Ansar) mendengar berita kepulangan Abu 'Ubaidah, lalu merekapun beramai-ramai menunaikan solat Subuh berjamaah bersama Rasulullah saw.

Selesai solat baginda segera pulang ke rumahnya, tetapi beliau dihalang oleh Al Ansar seolah-olah mereka ingin memberi salam tetapi bukan memberi salam. Baginda melihat mereka sambil tersenyum reda dan berkata: Aku kira kamu ada mendengar tentang kepulangan Abu 'Ubaidah dari Bahrain, yang banyak membawa harta. Mereka menjawab: Memang benar, wahai Rasulallah. Lalu Rasulullah pun bersabda: Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan

SYARAH AL HADIS:

Semoga Allah meredhai sahabat-sahabat Nabi Radhiyallahu 'Anhum: Mereka benar-benar lelaki dan pahlawan yang dididik dalam Madrasah Keimanan, Madrasah Muhammad saw. Mereka tidak dapat disibukkan oleh urusan-urusan dunia, mereka tidak dapat dilalaikan oleh perhiasan duniawi yang sementara ini.

Walaupun mereka sangat fakir dan tidak mempunyai harta, malahan sangat berhajat kepada harta; namun mereka tetap dapat mengawal diri, berjiwa tinggi, a'iffa' atau iffah (pandai menyembunyikan kemiskinan) dan bersifat mulia; Allah menceritakan bahawa diantara sifat-sifat mereka ialah:

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُمْ بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ (273)

(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu, menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang lain secara mendesak, dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. (Al Baqarah: 273)

Demikianlah sifat para sahabat baginda Rasul SAW. Walaupun mereka berhajat, namun sifat malu mereka mengatasi dan menghalang mereka untuk mengemukakan apa yang mereka hajatkan, apalagi sampai mendesak orang lain supaya memberi bantuan kepada mereka. Namun demikian baginda Rasul saw dapat membaca air muka mereka ketika mereka berusaha menghadang Rasulullah yang akan memasuki rumahnya. Baginda dapat memahami tujuan mereka berbuat demikian, lalu sambil tersenyum reda, dengan tenang Rasul saw bersabda:

Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan.............

Namun demikian di dalam suasana begini baginda saw tidak lupa berpesan kepada mereka bahawa kehidupan dunia yang penuh dengan berbagai keseronokan dan perhiasan ini tidak sepatutnya dapat melekakan dan mencelakakan manusia. Mereka hendaknya mengambil dunia sekadar keperluan hidup di dunia ini saja. Mereka seharusnya lebih mementingkan faktor penyebab yang boleh membawa mereka kepada kebahagiaan yang hakiki di akhirat. Manusia tidak pernah merasa puas dan cukup terhadap harta yang dimilikinya walaupun mereka mempunyai harta yang melimpah ruah. Mereka tetap meikirkan bagaimana supaya hartanya boleh bertambah.

Rasulullah SAW. bersabda: Sekiranya anak cucu Adam memiliki dua lembah emas nescaya dia tetap masih menginginkan lembah emas yang ketiga, dan sekali-kali tidak akan penuh mulut anak cucu Adam kecuali tanah, dan Allah menerima taubat bagi orang yang bertaubat.

Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Allah swt:

أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ(1) حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ(2) كَلَّا سَوْفَ تَعْلَمُونَ (3)

Memperbanyak (harta dan anak) telah melalaikan kamu, sehingga kamu masuk kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu). ( Al Takaathur: 1-3)

Orang yang berakal waras sepatutnya tidak menyibukkan dirinya dengan urusan dan perkara-perkara yang remeh, lalu meninggalkan perkara yang lebih berfaedah. Sebenarnya apa saja yang ada dalam kehidupan dunia ini berupa keseronokan, syahwat, perhiasan dan lain lain bukanlah jalan untuk menuju kebahagiaan insan yang sebenarnya . Kebahagiaan yang hakiki bukanlah terletak pada istana yang megah, harta yang melimpah ruah, bukan pula pada emas dan perak serta perhiasan yang mahal mahal. Kebahagiaan yang sebenarnya adalah justeru terletak pada ketaqwaan seseorang kepada Allah, kaya jiwa, ketenteraman hati.

Rasulullah SAW. bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ.

Bukanlah kekayaan pada harta yang melimpah ruah, tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kaya jiwa.

Dan dengan jiwa yang kaya hidup seseorang menjadi tenang dan tenteram walaupun ia tidak memiliki harta yang banyak. Berapa banyak orang yang hidupnya sederhana, serba serbi sederhana, rumahnya, kedudukannya, gajinya, tetapi ia dapat beribadah dengan tenang, dan hubungannya dengan manusia lain juga terjalin baik dan dia tidak mempunyai banyak musuh. Sebaliknya berapa banyak pula orang yang hidupnya kelihatan serba mewah tetapi jiwanya gelisah dan kurang khushu’ ketika beribadat.

Jadi berdasarkan kenyataan diatas jelaslah bahawa kekayaan yang sebenarnya bukan terletak pada banyaknya harta tetapi sangat tergantung pada jiwa atau hati. Baik hati, pemurah, pemaaf, tidak pendendam, tidak dengki, ikhlas, dan lain lain sifat hati yang terpuji.

Kita tidak ingkari bahawa kefakiran boleh membawa kepada kekufuran. Kerana hidup yang sangat sempit, sangat susah dan ditambah pula dengan keimanan yang dangkal; boleh membawa manusia kepada kemaksiatan seperti mencuri, melacurkan diri malahan ada yang sanggup menukar agamanya.

Namun demikian, berdasarkan hadis bab diatas ternyata baginda Rasul saw tidak begitu bimbang kefakiran yang menimpa sahabat-sahabatnya, jika dibandingkan kalau mereka dilimpahkan oleh Allah harta yang banyak. Baginda khawatir peristiwa yang menimpa umat terdahulu akan berulang kembali menimpa umatnya. Iaitu setelah mereka diberi kekayaan dan kemewahan hidup, akhirnya mereka lupa kepada Allah, suruhan-Nya diabaikan dan larangan-Nya dilanggar. Akhirnya turunlah kemurkaan Allah keatas mereka. Ini sebagaimana firman Allah:

وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا(16)

Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur hancurnya. (Al Israa’: 16)

Maksud ayat diatas: Bila telah hampir masanya Allah akan memusnahkan suatu negeri kerana kederhakaan penduduknya maka Allah tidak akan menurunkan azab secara tiba-tiba. Tetapi Allah akan suruh orang-orang kaya negeri itu supaya taat dan patuh kepada-Nya. Tetapi jika mereka ingkar dan derhaka terhadap perintah itu, maka barulah Allah akan turunkan bencana dan hancurkan negeri tersebut sehancur-hancurnya.

Ada pula tafsiran lain terhadap kata (Amar-naa) yang ada dalam ayat diatas. Selain mengandungi makna " Kami Perintahkan " sebagaimana tafsiran diatas, ia juga mengandungi makna "Kami perbanyakkan".

Jadi kalau ditafsirkan kata tersebut dengan makna yang kedua maka maksud ayat menjadi: Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami akan perbanyakkan jumlah orang-orang yang hidup mewah di dalam negeri itu.

Atas sebab itu, jika ditinjau dari satu sudut kita boleh bergembira kerana hari ini sungguh banyak orang yang hidup mewah di negeri kita. Tetapi kita jangan sampai lupa, bahawa ada juga kemungkinan yang kedua, barangkali itulah cara Allah hendak memusnahkan negeri ini jika kita melupakan-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan